Followers

Friday, January 24, 2020

SITUASI TERKINI JANGKITAN INFLUENZA DI MALAYSIA - KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 31 Disember 2019 dan 14 Januari 2020 bahawa jangkitan influenza tidak tertakluk kepada keperluan pelaporan / notifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Namun, KKM sentiasa memantau trend aktiviti influenza mahupun kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan melalui sistem pelaporan sedia ada daripada lokasilokasi sentinel yang telah dikenalpasti di seluruh negara.

Berdasarkan analisa semasa bagi trend aktiviti influenza yang meliputi kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan severe acute respiratory infection (SARI), adalah didapati ianya masih merekodkan peningkatan berbanding minggu sebelumnya. Namun, aktiviti survelan makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh tidak mengesan sebarang kelainan atau perubahan/mutasi pada virus influenza yang menular pada ketika ini. Peningkatan trend yang direkodkan adalah melibatkan virus influenza sedia ada. 

Bagi minggu kedua tahun 2020 yang berakhir pada 11 Januari, berikut dikemukakan status terkini mengenainya berdasarkan aktiviti survelan influenza yang dijalankan oleh KKM: i. Kadar konsultasi kes ILI adalah 4.02%, iaitu peningkatan berbanding 3.73% yang direkodkan pada minggu sebelumnya mahupun 3.88% yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2019; 2 ii. Kadar kemasukan kes SARI ke wad adalah 5.23%, iaitu peningkatan berbanding 4.92% yang direkodkan pada minggu sebelumnya mahupun 4.60% yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

Seterusnya, jumlah kumulatif wabak jangkitan salur pernafasan yang dilaporkan pada tahun ini sehingga 18 Januari 2020 (iaitu Minggu Epid 3/2020) adalah sebanyak 186 wabak, berbanding 11 wabak yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

 Untuk makluman, KKM secara berterusan bekerjasama dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memantau situasi kejadian influenza melibatkan institusi pendidikan. Perkara ini telah dinyatakan dengan jelas melalui Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada 15 Januari 2020; sebagaimana berikut: 

KPM mempunyai mekanisma pemantauan serta pelaporan di semua institusi pendidikan yang membolehkan KPM mendapat maklumat yang tepat sepanjang masa. Walau bagaimanapun, statistik rasmi mengenai jumlah murid yang disahkan menghidap influenza hanya boleh disahkan dan dikeluarkan oleh KKM.” 

Majoriti pelaporan kejadian jangkitan saluran pernafasan yang diterima oleh Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, KKM untuk tiga (3) minggu pertama tahun 2020 adalah melibatkan institusi pendidikan. Antara faktor penyumbang kepada situasi ini adalah penularan virus influenza yang mudah berlaku di tempat padat seperti di sekolah, di mana murid-murid bergaul rapat sesama mereka sepanjang sesi persekolahan. Namun, KKM ingin menegaskan bahawa kesemua wabak yang dilaporkan berlaku di institusi pendidikan berada dalam keadaan terkawal dan langkah-langkah kawalan serta pencegahan telah dilaksanakan. Setakat ini hanya dua (2) buah sekolah sahaja ditutup akibat penularan jangkitan influenza, iaitu Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak (mulai 11-19 Januari 2020) dan Sekolah Kebangsaan Stella Maris, Tanjung Aru, Sabah (mulai 22-28 Januari 2020). Manakala penutupan kelas pula dilaksanakan oleh tiga (3) buah sekolah di Pulau Pinang; yang setiap satu daripadanya melibatkan 3 pelbagai tempoh masa yang berlainan antara satu dengan yang lain iaitu hasil perbincangan antara pihak Pejabat Kesihatan dan pihak sekolah yang terlibat.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak KKM dalam memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan influenza di sekolah dilaksanakan. Di peringkat lapangan, beberapa sesi perjumpaan townhall telah dijalankan khususnya sekolah-sekolah yang terlibat dengan kejadian wabak berkaitan. Sesi townhall di peringkat kebangsaan juga akan diadakan dalam masa terdekat, sebaik sahaja beberapa perincian mengenai penganjurannya dimuktamadkan oleh KPM. 

KKM memahami kebimbangan orang awam mengenai isu ini. Namun, KKM ingin memaklumkan bahawa tidak semua demam selsema adalah disebabkan oleh jangkitan virus influenza. Lazimnya, pesakit dengan jangkitan influenza sembuh tanpa sebarang rawatan spesifik. KKM juga ingin mengingatkan orang awam agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri yang baik dengan kerap membasuh tangan dengan sabun dan air atau hand sanitizer, rehat secukupnya, memastikan diri sentiasa terhidrat dan dapatkan rawatan sekiranya tidak sihat. Orang awam juga dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tuntutan perubatan yang dibuat pada sebarang produk yang meragukan terutama yang dikatakan dapat merawat jangkitan influenza seperti yang digembar gemburkan oleh segelintir individu tidak bertanggungjawab. 

Untuk makluman, sejumlah 99,470 dos vaksin influenza dijangka akan dibawa masuk pada bulan ini. Daripada jumlah besar tersebut: 

i. Sebanyak 16,839 dos telah lulus penilaian kualiti oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara 
  (NPRA) pada 21 Januari 2020 dan pihak pembekal akan mengagihkan stok ini ke fasiliti-fasiliti 
  yang memohon; 
ii. Sejumlah 15,000 dos telah tiba di Malaysia dan akan melalui penilaian kualiti dalam masa 
   terdekat; 
iii. Baki selebihnya sebanyak 67,631 dos akan tiba sekitar penghujung bulan Januari 2020. 

Pada masa yang sama, sejumlah 35,100 dos vaksin influenza daripada pembekal alternatif juga telah dibawa masuk ke Malaysia pada minggu ini bagi menampung keperluan semasa. 

Buat masa ini, pembekalan ubat antiviral Oseltamivir di fasiliti KKM yang dibuat melalui syarikat konsesi adalah mencukupi untuk menampung peningkatan semasa. Program Perkhidmatan Farmasi akan terus membuat pemantauan terhadap kedudukan stok di peringkat fasiliti KKM dan juga pihak pembekal. Pihak KKM juga telah meluluskan hampir 1.4 juta kapsul / tablet bagi tempoh Disember 2019 hingga 20 Januari 2020 melalui pembekal alternatif untuk memenuhi permintaan fasiliti kesihatan swasta. Kuantiti ini dianggarkan dapat merawat sejumlah 140,000 orang pesakit. Walau bagaimanapun, KKM ingin menegaskan bahawa hanya pesakit influenza yang tertentu sahaja perlu dirawat dengan ubat antiviral. Pemberian ubat antiviral adalah berdasarkan penilaian klinikal yang dijalankan oleh doktor yang merawat. Ubat antiviral ini tidak boleh diberikan dengan sewenang-wenangnya bagi mengelakkan daripada berlakunya kerintangan (resistance) kepada ubatan tersebut. Antara indikasi penggunaan ubat antiviral adalah melibatkan pesakit dengan gejala jangkitan respiratori akut yang teruk (severe acute respiratory illness), pesakit yang keadaan kesihatannya semakin merosot akibat jangkitan influenza dan golongan yang berisiko mengalami komplikasi akibat jangkitan influenza; iaitu kanak-kanak berusia lima (5) tahun dan ke bawah, warga emas serta mereka yang menghidap penyakit-penyakit kronik (seperti kencing manis, darah tinggi, asma dan lain-lain). 

KKM menyeru semua pihak mendapatkan maklumat yang sahih dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kebimbangan kepada orang awam. Maklumat yang sahih ini boleh didapati daripada pihak KKM di laman sesawang atau platform media sosial rasmi KKM. Sebarang pertanyaan mengenai perkara ini boleh dikemukakan melalui talian infoline CPRC KKM di 03 8881 0200 atau 03 8881 0600 atau melalui e-mel kepada cprc@moh.gov.my. 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH 
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 
21 JANUARI 2020

No comments:

Post a Comment

Please drop a comment if any. Thank you for your time to read my article. Enjoy your reading and get inspired.