Followers

Friday, January 10, 2020

Sejarah Jambatan Tamparuli - Lagenda Solungkoi

Lagenda Solungkoi

Menurut maklumat yang tersimpan di Muzium Sabah, terdapat satu kisah disebalik pembinaan awal Jambatan Tamparuli yang baru. Ketika jambatan itu baru mula dibina, seorang pegawai British bernama Robinson yang berkhidmat di Tamparuli, telah jatuh cinta dengan seorang sumandak cantik (gadis cantik) tempatan bernama Solungkoi.

Mereka kemudiannya jatuh cinta dan menjadi pasangan kekasih. Dalam masa yang sama, seorang jejaka tempatan bernama Intang dalam diam-diam turut menaruh hati terhadap Solungkoi. Malangnya, cinta Solungkoi hanya untuk Robinson. Mungkin kerana wajahnya yang tampan, apatah lagi berpangkat.
Sementara itu, Robinson adalah pegawai yang diberi tanggungjawab untuk menyiapkan projek pembinaan Jambatan Tamparuli.

Jambatan Tamparuli pula sering mengalami kerosakan setiap kali berlaku banjir besar. Robinson begitu runsing kerana tanpa jambatan, akan menyukarkan pihak British dan penduduk tempatan untuk berhubung dengan dunia luar.

Suatu hari, Robinson telah meminta bantuan daripada Intang untuk mencari punca dan cara terbaik menyelesaikan masalah itu. Dengan keyakinan bahawa penyebab masalah jambatan selalu rosak adalah tombuakar (hantu air), Intang kemudiaanya berjumpa dengan odu-odu (wanita tua) yang merupakan seorang bomoh wanita dan pakar dalam bidang pemujaan (mengubati orang sakit dan menghalau hantu).

Odu-odu kemudiannya mengenal pasti masalah tersebut, kononnya tombuakar marah kerana tapak pembinaan jambatan telah mengganggu kawasan tempat tinggalnya. Lalu odu-odu menyarankan supaya diadakan satu upacara untuk menjamu tombuakar sebagai tanda meminta maaf. Peliknya, walaupun upacara jamuan sudah dilakukan, jambatan masih lagi bermasalah. Rupa-rupanya, tombuakar mahukan nyawa seorang sumandak yang cantik sebagai temannya di dalam air.

Pada masa itu, tiada gadis lain yang lebih rupawan selain Solungkoi. Dan kerana cemburu dan dendam, Intang menghasut Robinson untuk mengorbankan Solungkoi. Robinson pun bingung memikirkan antara kerjaya ataupun kekasih hati. Akhirnya Robinson memilih untuk mengorbankan Solungkoi.

Pada suatu malam, ketika Robinson dan penduduk kampung berpesta minum tapai (minuman memabukkan), Solungkoi dibawa ke jambatan dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana sudah mabuk. Sebaik saja Solungkoi sedar, dia mendapati badannya sudah diikat dan tergantung pada tali untuk diturunkan ke bawah cerucuk jambatan.

Ini adalah syarat dari Tombuakar yang mahukan mangsanya ditanam hidup-hidup di bawah jambatan.


Solungkoi mula menangis dan merayu untuk dilepaskan, malangnya tangisan Solungkoi tiada siapa mendengar kerana semuanya sudah mabuk. Solungkoi pasrah. Dia lalu membuat permintaan terakhir kepada Tombuakar dengan bersumpah, Jambatan Tamparuli tidak akan kukuh dan selalu rosak selagi tidak mengorbankan darah Robinson.

Robinson kemudiannya amat menyesal dengan tindakannya dan bagi mengenang kekasihnya itu, Robinson mengukir nama Solungkoi di atas sekeping plat besi dan melekatkannya di cerucuk jambatan di mana Solungkoi ditanam. Selepas itu, Robinson dikatakan membunuh diri dengan membiarkan dirinya dilemaskan oleh Tombuakar. Ada yang mengatakan bahawa cerita ini hanyalah mitos, namun seperti yang disahkan oleh orang-orang yang pernah menyelam di bawah jambatan Sungai Tamparuli, plat besi terukir nama Solungkoi masih dapat dilihat sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun, lokasi tepat dimana plat itu dilekatkan telah dirahsiakan atas faktor-faktor keselamatan. Yang pasti, selepas lebih 60 tahun, Jambatan Tamparuli tetap utuh dan kekal digunakan oleh penduduk kampung.

Sumber Artikel: 
http://www.sentiasapanas.com/2016/11/asal-usul-jambatan-tamparuli.html#axzz6AaG3dJ74

2 comments:

Please drop a comment if any. Thank you for your time to read my article. Enjoy your reading and get inspired.